Monday, May 12, 2008

Kereta api laju patut berakhir di Johor Bahru

KUALA LUMPUR 28 Mac – Beberapa ahli Parlimen berpendapat kepentingan negara khususnya rakyat di negeri Johor perlu diutamakan dalam membuat keputusan berhubung cadangan pembinaan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.Sambil tidak menolak cadangan itu, mereka menegaskan, kesannya kepada rancangan pembangunan koridor selatan yang melibatkan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) perlu diambil kira.

Sehubungan itu, mereka berpendapat, jalan terbaik bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh rakyat dan negara adalah dengan memastikan perkhidmatan kereta api laju berkenaan berakhir di Johor Bahru dan bukannya, Singapura.Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, dengan berhenti di Johor Bahru, kerajaan dapat mengelak satu lagi perundingan dengan Singapura.‘‘Selain mengelak aktiviti bertumpu di republik itu, kita juga tidak perlu untuk menghadapi satu lagi situasi rundingan dengan negara luar, walaupun kita berjiran. ‘‘Kita masih ada banyak urusan yang tertangguh. Selesaikan yang tertangguh dulu dan baru buka urusan baru,” katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor mengulas kenyataan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad yang mempersoalkan kewajaran penglibatan Singapura dalam projek kereta api laju itu.

“Singapura pernah menolak cadangan pembinaan jambatan baru ke sana tetapi kini (apabila merasa projek kereta api laju itu menguntungkan mereka), maka mereka mahu projek kereta api laju ini berhenti di republik itu,’’ kata Shahrir yang berpendapat kerajaan perlu berjaga-jaga dalam memikirkan program pembangunan agar tidak menjadi bahan jenaka.Kerajaan setakat ini belum memutuskan sama ada projek yang diinisiatifkan YTL Group itu akan berakhir di Johor atau Singapura.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pandangan Shahrir itu mempunyai kebenarannya jika alasan Singapura sebelum ini diambil kira.‘‘Dahulu (apabila Malaysia mencadangkan pembinaan jambatan) mereka mengatakan tidak ada masalah untuk masuk ke Johor Bahru, walaupun dengan kesesakan lalu lintas. Jadi kita berharap isu kesesakan atau kesukaran tidak dijadikan alasan bagi menguatkan hujah mereka supaya kereta api laju berkenaan berakhir di Singapura,” katanya.Beliau menambah, isu itu tidak sepatutnya timbul kerana jika berhenti di Johor Bahru sekalipun masih banyak kaedah pengangkutan lain boleh diwujudkan sebagai pengangkutan sambungan ke republik berkenaan.

Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata, kajian kesesuaian perlu didedahkan untuk penilaian semua pihak terlibat khususnya rakyat negeri Johor.‘‘Saya khuatir kalau kita hubungkan KL-Singapura dalam satu perkhidmatan terus dan tidak berhenti di Johor Bahru maka ia membawa kesan tidak baik kepada WPI dan Johor Bahru,’’ katanya.Beliau menambah, keadaan itu akan menyebabkan Johor kehilangan daya saing dalam pelbagai bidang.

‘‘Dalam dunia kejuruteraan, apa yang penting kalau kita merancang sesuatu perkhidmatan, kita mesti mendapat manfaatnya dan jika tidak, pengubahsuaian perlu dibuat,” katanya.Datuk Dr. Rahman Ismail (BN-Gombak) pula berkata, dua aspek yang perlu diutamakan adalah keuntungan ekonomi kepada negara dan keselesaan kepada rakyat.‘‘Pada saya ini bukan soal rasional tetapi soal berapa banyak yang negara akan mendapat manfaat. Pertama, keuntungan ekonomi dan kedua, keselesaan kepada rakyat,” katanya.

No comments: